13 March 2011

AKU YANG LEMAH

Assalamualaikum..

" Allah ( sentiasa ) hendak meringankan ( beban hukumnya ) daripada kamu,
kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah "
(An- Nisa' : 28 )

" Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya
dan janganlah kamu berbantah-bantahan;
kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu
dan sabarlah ( menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati);
sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar."
( Al- Anfal : 46 )

''Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati
dan jika kamu menghitung nikmat Allah
nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.
Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu
pada bukan tempatnya
lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.''
(Ibrahim:34)

''Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah,
selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat.
Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban.
Dia menciptakan apa yang dikehendakiNya
dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa."
(Ar-Rum:54)

Ya itulah aku, hambaMu yang lemah yang mudah melatah lagi pelupa.
Hakikat manusia itu lemah ditekankan olehNya di dalam Al-Quran berkali-kali dan merupakan bukti kasih
dan cinta seorang Pencipta kepada ciptaanNya. Diberitakan semua kelemahan diri seorang hamba untuk menjadi peringatan buat diri dan agar diri tidak kecewa kerana setiap kelemahan yang telah Allah titipkan
dalam diri kita,semuanya ada jalan keluar dan hikmah daripadanya.

Dek sifat lemah ini juga, Allah ringankan setiap hukuman untuk setiap kesalahan yang dilakukan.
Dan dengan sifat lemah ini jugalah hambaNya boleh menjadi kuat,bagaimana?
Seperti mana firmanNya, jadikan kelemahan itu bahan zikir diri bahawa hakikat kehidupan adalah mengenal erti hamba itu sendiri. Selayaknya seorang hamba itu lemah dan hanya meminta kepada Tuannya.
Maka kembalikanlah segala kelemahan dan bermohonlah kekuatan hanya dari Allah swt dengan taat kepada Nya dan RasulNya. Hiaslah munajat mu dengan sifat sabar dan serahkan segalanya kembali kepada Nya.

Dan janganlah kamu berbantah-bantah, ya aku mengerti kini mengapa.
Kerana bertegang lidah, bergaduh atau apa sahaja sifa mazmumah itu memenatkan diri, mengeluarkan cas negatif dari dalam diri dan menyebabkan hidup ini muram durjana, bahkan orang di sekitar juga turut berduka. Maka, lepaskan segala cas negatif dalam diri, bersihkan hatimu dengan beristighfar dan meningkatkan amal soleh di sisiNya moga DIA memberikan hati yang suci bersih dari kecintaan
kepada dunia dan isinya yang menjadi punca kepada hati yang kotor.

Akhirnya, jadilah engkau lemah wahai hamba hanya di hadapan Pencipta
kerana hanya DIA pusat ketumpuan cinta dan punca kekuatan diri.
Tempat perlindungan dan pengaduan diri.
Biarlah seisi dunia bagaikan membenci dan membelakangkanmu
tetapi selagi DIA tetap di sisi mu bersyukurlah dan teruskanlah melangkah.
Carilah redha Allah dan bukannya redha hamba-hambaNya.

-Aku sedar ini suatu lagi batu penghadang yang Engkau berikan untuk aku lebih dekat padaMu. Moga dengan kelemahan yang aku rasai ini, aku menjadi lebih dekat denganMu. Lebih ingat padaMu dan lebih mengenal erti kehambaan, hakikat kehidupan.

“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin,
sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik,
dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin:
jika mendapat nikmat ia bersyukur,
maka syukur itu sangat baik baginya
dan bila menderita kesusahan ia bersabar,
maka sabar itu lebih baik baginya.”
(Hadis riwayat Muslim)





Ya Allah,no matter what awaits me in the future,
only YOU, I seek protecteion
Let the world turn their back against me
so long I have YOU
none the matter

Kenalkan kami kepadaMU,Ya Rabb.















No comments: